Thursday, April 21, 2011

Orang Baik-baik

Cerita belum habis tapi aku ingin pulang. Bukan sebab cerita tidak bagus tetapi sebab malam makin lewat. Aku harus pulang awal bukan sebab curfew tetapi kerana aku di Bangsar Shopping Complex dan aku harus pulang ke Gombak.

Aku datang menaiki LRT jadi aku harus pulang naik LRT dan LRT bukan 24 jam. Aku tak mahu naik teksi sebab mahal. Lagipun aku takut dan aku tak yakin teman aku boleh melindungi aku.

Sejurus cerita tamat, kami keluar. Keadaan sunyi. Untuk ke LRT Bangsar kami harus ambil teksi sebab bas pengantara sudah habis operasi. Di tempat tunggu teksi ada 2 orang perempuan. Juga tunggu teksi, mungkin.


Tiba satu teksi, mereka bangun. Tiba-tiba mereka tanya:

“Nak pergi mana?”
“LRT Bangsar”
“Kitorang pun sama. Jomlah.”

Rasa sedikit lega sebab mungkin sempat kejar LRT terakhir tetapi malang, dah terlepas. Aku buntu. Tiba-tiba 2 orang perempuan tadi tanya lagi:

“Balik mana?”
“Gombak”
“Jom kongsi teksi ke Wangsa Maju, ambil kereta kitorang dan kitorang hantar ke Gombak.”

Perasaan bercampur baur. Rasa lega sebab ada orang nak hantar balik tapi aku juga rasa risau dan sedikit takut sebab aku tak kenal mereka. Mungkin mereka berniat jahat. Kenapa begitu mudah untuk menumpangkan orang yang tak dikenali? Macam mana kalau aku dan teman perompak atau pembunuh? Tidak takutkah mereka?


Akhirnya kami tumpang juga kerana perasaan untuk balik lebih kuat daripada perasaan takut. Lagipun, mereka nampak macam orang baik-baik. Dan sebenarnya mereka memang orang baik kerana kami selamat sampai ke destinasi kami. Yang tak selamat hanyalah hubungan aku dan teman aku.

No comments: