Friday, October 28, 2011

Cinta

Jantung aku masih berdegup kencang. Sekencang ketika kali pertama dia menegur aku dahulu. Tergamam seketika kerana memang aku tak sangka dia ingin berkenalan dengan aku sedangkan ramai lagi kawan-kawan aku yang jauh lebih cantik. Sedar tak sedar, sudah lebih 2 tahun usia perkenalan kami dan sepanjang 2 tahun tersebut, kami memang kerap berjumpa dan banyak cerita tentang dirinya yang dikongsi denganku.

Hari ini tiada bezanya. Aku masih tersenyum lebar, selebar senyuman yang ku lemparkan padanya ketika dia menjemput aku lebih kurang 5 jam yang lalu. Aku menoleh sepintas lalu ke arah jam di dinding. Waktu sudah pukul 3 pagi tetapi aku masih belum mengantuk. Sebenarnya aku memang tidak mahu melelapkan mata setiap kali kami berjumpa kerana aku sangat takut dia akan hilang apabila aku bangun dan aku takut tak akan dapat berjumpa dengannya lagi.

Sambil duduk di atas sofa dengan tubuh dibaluti jubah mandi, aku memandangnya yang tengah nenyak tidur dibuai mimpi. Memang tak jemu memandang wajahnya yang kacak dan tubuhnya yang sasa. Dia juga seorang yang baik hati. Selalu sabar mendengar aku bercerita tentang kehidupan harian aku dan sentiasa menasihati aku untuk tabah menghadapi kehidupan walaupun dilanda pelbagai masalah.

Keadaan sunyi di luar menyebabkan aku tiba-tiba merasa sayu dan tanpa aku sedari airmataku mengalir laju membasahi pipiku. Aku cintakan dia.

Aku mendekatinya perlahan-lahan dan berbaring disebelahnya sambil menggenggam tangannya. Terasa selamat sekali.

Tidak lama kemudian, dia bangun dan terus menyarung pakaian. Aku juga menuruti perbuatannya.

Usai berpakaian, dia memandang aku,

“Eh, you menangis ke? Is something wrong?”

Aku hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum.

“Jom, I hantar you. You nak balik rumah ke?”

“Belum lagi. Hantar I ke tempat biasa je.”

“Okay. Eh, sebelum I lupa. I belum bayar you lagi untuk malam tadikan?” katanya sambil menyeluk kocek seluar. Beberapa keping not RM50 diserahkan kepadaku.

“Same time next week?”

Aku mula menghitung saat sebelum aku dapat bersamanya kembali.

(23/8/2011)

1 comment:

zatulitri said...

aaa..kenapa kau suka buat citer2 sedih camni nik.huhu..